• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Tuesday, May 26, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

Air Mata Biru Pantai Tusan Jadi Tarikan Di Miri

oleh Ahmad Albab
06/12/2016
dalam Gaya Hidup, Utama & Sensasi
0
Share on FacebookShare on Twitter

MIRI – Pantai Tusan di Bekenu, kira-kira 40 kilometer dari bandar raya ini, sebelum ini hanya popular di kalangan penduduk berhampiran serta peminat fotografi sebagai lokasi terbaik untuk melihat matahari terbenam dan landskap menarik di situ.

Kedudukan pantai ini di hujung sebuah ladang kelapa sawit yang berhampiran Jalan Pesisir Pantai Miri-Bekenu agak tersorok, dan pengunjung perlu berjalan turun kira-kira 30 meter untuk ke pantai tersebut, menambah ‘misteri’ kepada lokasi ini.

Namun segala-gala berubah apabila sekitar hujung tahun 2015, seorang jurugambar tempatan merakam gambar fenomena air mata biru di pantai tersebut, gambar itu kemudiannya tersebar hingga menjadi viral di laman sosial.

Sejak itu saban minggu, ratusan pengunjung menyerbu pantai itu untuk menyaksikan sendiri fenomena air mata biru atau dinamakan ‘bio-luminescence’ yang berlaku apabila mikro-organisme di dalam air diganggu oleh oksigen, menghasilkan cahaya cerah kebiruan di pantai tersebut.

Selain fenomena air mata biru, tarikan lain termasuk tebing batu di Tanjung Layang-layang yang turut dikenali sebagai ‘Batu Kuda’ di kalangan pengunjung berikutan bentuknya mirip seekor kuda sedang minum serta gua kecil dengan landskap batuan menarik di sepanjang pantai itu.

Seorang penduduk kampung berhampiran, Rosli Mohidi, 43, berkata fenomena itu mula dikesan sekitar September 2015, kemudiannya berterusan hingga Disember tahun yang sama.

Katanya dari awal Januari hingga Februari tahun ini, fenomena itu terus dikesan berlaku namun hilang selama beberapa bulan sebelum muncul kembali awal November lepas.

“Kali pertama tengok laut jadi kebiruan kami (penduduk kampung) berasa kehairanan dan pelik. Pantai ini merupakan kawasan perikanan pesisir pantai, jadi bila pasang pukat badan kami pun jadi seakan-akan kebiruan. Masa itu memang rasa pelik dan sedikit risau tapi lama-kelamaan kami semua sudah biasa dengan fenomena ini,” kata ketika ditemui di pantai itu.

Rosli, nelayan pesisir pantai dari Kampung Angus, berkata cerita tentang fenomena air mata biru itu menarik ramai pengunjung dari dalam dan luar negara termasuk dari Australia, New Zealand dan China.

“Sejak berita fenomena ini tersebar, ramai pengunjung datang, ada pelancong datang dengan bas, ada datang sendiri… saya sendiri ada bercakap-cakap dengan pelancong dari Australia, New Zealand dan China,” katanya.

Rosli berkata perkara paling utama buat pengunjung ialah bersabar memandangkan berdasarkan pemerhatiannya, keadaan arus, ombak, cahaya bulan dan bintang serta suhu turut memain peranan penting serta perlu diambil kira ketika menunggu fenomena itu berlaku.

Berlainan pula dengan Mohd Izzie Majid, 19, dari Kampung Terahad, yang ceritanya lebih melucukan ketika dia kali pertama melihat fenomena itu pada suatu malam sekitar September 2015 bersama lima lagi rakan ketika sedang bersantai di pantai tersebut.

“Tiba-tiba kami berenam nampak laut dan kawasan sekitar jadi kebiruan, waktu itu air pasang, jadi perlahan-lahan cahaya kebiruaan itu seolah-olah naik ke atas bukit, meremang bulu roma kami sudah fikir perkara yang bukan-bukan,” kata bekas pelajar Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, Tanjong Lobang, yang masih menunggu keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.

Pemuda etnik Kedayan itu berkata kira-kira seminggu selepas itu, dia melihat kawasan tersebut menjadi tumpuan peminat fotografi yang cuba merakamkan gambar fenomena tersebut, dan sejak itu pantai yang tersorok itu mula dibanjiri pengunjung.

Fenomena air mata biru serta tarikan lain telah menambah nilai komersial kepada Pantai Tusan, apabila kini terdapat lebih 10 buah gerai yang diusahakan penduduk setempat menjual minuman dan makanan selepas pantai itu menjadi masyhur.

Rosli sendiri dibantu oleh Mohd Izzie bersama beberapa lagi sanak-saudara turut mengambil peluang membuka gerai di situ.

Pastinya pengumuman Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang juga Menteri Pelancongan Negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg baru-baru ini bahawa kerajaan mempertimbang untuk memasukkan projek pembangunan kawasan Pantai Tusan dalam separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11, dengan peruntukan RM5 juta bagi membangunkan kemudahan infrastruktur di pantai itu, disambut baik penduduk setempat. – BERNAMA

Tags: Pantai Tusansarawak
Share197Tweet123SendShare

Related Posts

Objek Disyaki Serpihan Angkasa Dikesan di Ruang Udara Sarawak

Objek Disyaki Serpihan Angkasa Dikesan di Ruang Udara Sarawak

09/04/2026
0

KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menasihati orang ramai agar tidak menyentuh sebarang objek mencurigakan yang mungkin...

PETRONAS Rujuk Mahkamah Persekutuan Selesai Isu Petroleum Di Sarawak

PETRONAS Rujuk Mahkamah Persekutuan Selesai Isu Petroleum Di Sarawak

12/01/2026
0

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) memfailkan suatu notis usul di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya bagi mendapatkan penjelasan berhubung kerangka kawal...

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd