BUKIT MERTAJAM – Polis menahan seorang lelaki yang menyamun dan mencederakan mangsa di hadapan sebuah kedai gunting rambut di Jalan Medan Kikik 6, Perai dekat sini pada awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata dalam kejadian pada 1.10 pagi itu, dua lelaki berusia 29 dan 23 tahun berada di hadapan kedai itu sebelum didatangi seorang lelaki bersenjatakan sebilah parang.
“Suspek dikatakan mengarahkan mangsa menyerahkan beg duit serta telefon bimbit, namun mangsa enggan berbuat demikian sehingga berlaku pergelutan.
“Seorang daripada mangsa mengalami kecederaan di mata, badan dan kaki.
Rakannya cuba membantu tetapi suspek mengacukan parang dan mengugut akan mencederakannya,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata suspek berusia 32 tahun itu berjaya mengambil beg duit serta kunci kereta mangsa, namun tindakan pantas mangsa membuat laporan polis membolehkan suspek ditahan kira-kira 50 meter dari lokasi insiden dan mendapatkan semula barangan yang disamun.
Nik Ros Azhan berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan samun dan ragut sekitar daerah SPT dan mempunyai enam rekod jenayah serta dadah.
Beliau berkata lelaki itu juga didapati positif dadah dan direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan lain, Nik Ros Azhan berkata seorang pelajar tingkatan empat ditahan pada Khamis di Jalan Impian Ria, Alma di sini setelah dipercayai terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah serta pecah rumah di sekitar SPT.
Polis menahan remaja lelaki berusia 16 tahun itu pada 8.10 malam ketika sedang menunggang motosikal dan setelah diperiksa, polis menemui 33 paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis syabu seberat 25.60 gram, katanya.
“Dipercayai remaja itu anggota sindiket pengedaran dadah di negeri ini dan semasa ditahan dia dalam perjalanan menghantar syabu bernilai RM3,800 itu kepada pembeli di kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata siasatan awal mendapati remaja itu juga dipercayai seorang daripada geng pecah rumah di sekitar daerah SPT dan Seberang Perai Selatan (SPS).
“Pelajar itu memang dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung beberapa kes pecah rumah dan dadah di sekitar SPS dan kes disiasat menurut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA

