KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan Selangor memulangkan semula 351 bible yang mengandungi kalimah Allah kepada Persatuan Bible Malaysia (PBM) kelmarin sejajar dengan ajaran Islam.
Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Muhammad Nur Manuty berkata, Islam adalah agama rahmatan lil ‘alamin iaitu agama rahmat untuk seluruh alam.
“Dengan langkah yang dilakukan ini dengan jelas membuktikan hakikat bahawa Islam itu adalah agama rahmatan lil ‘alamin dan amat mementingkan keadilan semua tanpa mengira agama anutan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Muhammad mengalu-alukan langkah Kerajaan Selangor menyerahkan kembali bible berbahasa Melayu dan Iban yang dirampas oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Beliau berharap, kontroversi agama itu tidak digembar-gemburkan lagi dan semua pihak memanfaatkan pendekatan terbaik, berhikmah dan bijaksana dalam meleraikan isu seperti itu di masa depan.
Media kelmarin melaporkan, sSetelah hampir setahun, kerajaan Selangor akhirnya menyerahkan kembali bible yang mengandungi kalimah Allah yang dirampas daripada PBM.
Sebanyak 351 kitab suci bagi penganut Kristian itu diserahkan di Istana Alam Shah dalam satu majlis ketika kunjungan hormat Pengerusi Persatuan Gereja-gereja Sarawak (ACS), Datuk Bolly Lapok menemui Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. – mynewshub.cc

