LIMBANG – Kementerian Dalam Negeri mengkaji kemungkinan memanjangkan masa operasi pos kawalan Jabatan Imigresen di sempadan Malaysia-Brunei kepada 24 jam sehari, kata Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata Jabatan Imigresen telah diarahkan untuk membuat laporan mengenai cadangan itu untuk diserahkan kepadanya dalam tempoh dua minggu.
“Setelah laporan siap, ia akan dikemukakan pada kerajaan pusat untuk kelulusan,” katanya kepada pemberita selepas melawat pos sempadan Tedungan di sini Sabtu.
Kini waktu operasi pos kawalan Jabatan Imigresen di sempadan kedua-dua negara adalah mulai pukul 6 pagi hingga 10 malam, namun dibuka untuk kes kecemasan seperti penghantaran pesakit dan jenazah sekiranya pihak terbabit memaklumkan kepada pegawai yang bertugas.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr wan Junaidi berkata, kerajaan akan menambah baik infrastruktur kawasan sempadan Malaysia-Brunei yang kini menjadi semakin penting berikutan peningkatan jumlah keseluruhan pengunjung keluar dan masuk yang kini direkodkan lebih 5 juta setiap tahun. – BERNAMA

