KUALA LUMPUR – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu dua warga Bangladesh berhubung pembaharuan permit melibatkan kerugian RM12,000.
Rizwadi Irwan Jamaludin, 40, yang bekerja sendiri didakwa menipu pelajar kolej swasta, Abdul Kayum Abdul Jalil, 25, dan pekerja syarikat keselamatan Hussain Mohammad Shampad, 28, dengan memperdaya mereka untuk mempercayai bahawa dia boleh memperbaharui permit, sehingga mangsa menyerahkan wang RM12,000.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di 46-C Faber Plaza, Jalan Desa Bakti, Taman Desa, Off Jalan Klang Lama di sini pada 23 Jun 2015 sehingga 24 November 2015.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda jika disabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Raya, Nom Phot Prackdit menawarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi pertuduhan itu manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan.
Majistret Mahyudin Mohmad Som membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Disember ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

