Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan jika ada elemen rasuah berlaku selepas seorang pelajar Russia yang akan menaiki peswat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dilepaskan biarpun dua replika bom dan pisau ditemui pada dirinya.
Untuk membantu siasatan, lima orang anggota polis dan dua anggota simpanan polis sukarela (PVR) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang yang pada mulanya menahan dan menemui objek berkenaan ditahan.
Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner (ACP) Mohd Yusof Awang berkata pihak polis akan menyiasat dari semua aspek, termasuk jika ada pihak melakukan rasuah.
“Siasatan sedang dijalankan dan kita akan menyelesaikan kes ini,” katanya.
Polis sudah pun membebaskan enam lelaki yang ditahan termasuk anggota PVR sebaik keterangan mereka diambil.
Seorang lagi anggota polis ditahan reman sehingga esok.
Ketika insiden berkenaan Rabu lepas, pelajar berkenaan ditahan oleh anggota-anggota bertugas dan mereka menemui dua replika bom, sebilah pisau dan pemetik api berbentuk pistol dalam milikannya.
“Tidak mematuhi protokol, anggota berkenaan sebaliknya membenarkan pelajar berkenaan menaiki pesawat selepas objek berkenaan dirampas,” kata ACP Mohd Yusof.
Beliau berkata anggota berkenaan sepatutnya membuat laporan polis, memaklumkan pihak berkuasa dan menahan penumpang berkenaan.
“Mereka juga gagal mengambil butir diri penumpang itu,” katanya.
ACP Mohd Yusof berkata anggota polis bagaimanapun telah menyoal siasat penumpang berkenaan ketika objek berkenaan ditemui.
“Penumpang itu memberitahu, objek berkenaan dibeli dari sebuah kedai di pusat membeli-belah Sunway Piramid untuk dibawa pulang sebagai cenderahati dari Malaysia,” katanya.
Pihak polis katanya sudah pun menghubungi pihak Polis Antarabangsa (Interpol) untuk menjejaki dan mengenalpasti pelajar kolej berkenaan. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IBNU K

