JOHOR BAHRU – Johor mencatatkan penurunan kes kematian pekerja dalam sektor pembinaan bagi tempoh Januari hingga Oktober iaitu 17 kes tahun ini berbanding 23 kes kematian pada tahun lepas.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) negeri Ir Kormain Mohd Noor berkata biarpun menunjukkan penurunan, kes sebegitu tidak harus dipandang ringan kerana membabitkan keselamatan dan kesihatan pekerja.
Berikutan itu, beliau memuji usaha Master Builders Association Malaysia (MBAM) mengadakan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerja dan Bengkel Kerja-Kerja Mengangkat Bahan Berat di sebuah hotel, di sini hari ini.
Katanya penganjuran yang bertujuan mencegah sebelum berlakunya kemalangan di tempat kerja itu selaras dengan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 2016 hingga 2020 (OSHMP 2020).
“Pelan ini merupakan titik permulaan bagi pemain industri untuk memahami prinsip pencegahan kecederaan dan kesan kesihatan pekerja semasa bekerja bagi semua sektor,” kata Kormain kepada pemberita selepas perasmian seminar itu.
Beliau juga berharap agar majikan atau kontraktor mewujudkan perancangan kerja yang khusus bagi memastikan ia selamat dilakukan.
“Saya juga berharap pengurusan kontrak dapat dilaksanakan dengan berkesan terutama dalam sektor pembinaan dan saya percaya ia juga mampu mengurangkan kes kemalangan khususnya di tapak pembinaan di negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, Kormain memaklumkan seramai 51 konraktor dikenakan kompaun dari Januari hingga Oktober tahun ini dan lebih daripada 50 peratus kompaun itu berkaitan kesalahan tepian projek tidak dihadang.
“Dalam tempoh sama, 40 kontraktor dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan penalti lebih RM200,000 atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya. – BERNAMA