Setelah lapan tahun hidup dalam keadaan mulut tidak boleh dibuka, akhirnya, seorang remaja dari Hathras, Uttar Pradesh di India mendapat kembali keupayaan tersebut.
Shivam Sharma, 19, menderita tidak mampu untuk menggerakkan rahang setelah dia terlibat dalam satu insiden terjatuh dari bumbung, menyebabkan rahangnya melekat pada pangkal tempurung kepala.
Disebabkan ketidakupayaan tersebut, dia tidak mampu untuk makan dan bercakap dengan sempurna. Malahan, dia terpaksa berhadapan kesukaran untuk bernafas terutamanya ketika tidur.
“Oleh kerana tidak mampu membuka mulut, saya bergantung pada makanan dalam bentuk cecair. Tetapi selepas pembedahan, doktor memberitahu, kini saya boleh mengunyah apa sahaja dan bercakap tanpa mengalami kesusahan. Namun, saya perlu mengelak untuk terlibat dengan aktiviti sukan seperti bola sepak. ”
Prosedur pembedahan yang memakan masa sehingga 3 jam itu berjaya mengubah kecacatan Sharma dengan menggantikan rahang tiruan. Impan tersebut ditempah khas, oleh itu Sharma terpaksa membayar kos sebanyak Rs. 3 lakh atau kira-kira RM 22,000. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR




