KUANTAN – Empat remaja lelaki antara 33 individu ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kerana disyaki penagih dadah dalam Operasi Cegah Perdana di lima lokasi di sekitar sini tengah malam tadi.
Ketua Pegawai AADK Daerah Kuantan Nor Haffiza Ibrahim berkata masing-masing dua remaja berumur 16 dan 19 tahun itu ditahan dalam operasi di Jaya Gading dekat sini.
“Hasil soal siasat kita mendapati kedua-dua remaja lelaki berumur 16 tahun ini tidak bersekolah dan mereka disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak masing-masing berumur 14 tahun dan 15 tahun,” katanya kepada Bernama hari ini.
Nor Haffiza berkata dalam operasi di Bukit Sagu, Jaya Gading, Taman Tas, Beserah dan sekitar kawasan bandar itu, AADK telah menangkap 43 individu namun hanya 33 lelaki berumur 16 hingga 43 tahun positif dadah dalam pemeriksaan ujian urin.
Beliau berkata operasi yang bermula 12 tengah malam hingga 6 pagi tadi itu melibatkan seramai 30 anggota AADK termasuk pegawai. – BERNAMA

