PUTRAJAYA – Syarikat atau entiti perniagaan disaran memperkasakan nilai integriti di organisasi masing-masing dengan menandatangani ikrar integriti bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata langkah bertujuan membendung elemen perlakuan rasuah itu perlu diambil dalam memastikan tadbir urus syarikat dilaksana dengan sempurna dan menjamin perkhidmatan terbaik.
“Kami amat berharap banyak lagi syarikat, agensi atau entiti perniagaan dapat menyambut saranan menandatangani ikrar integriti, satu usaha ke arah pencegahan rasuah di institusi masing-masing,” katanya semasa berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara SPRM dan Prasarana Malaysia Bhd di sini, hari ini.
Perjanjian kerjasama itu, yang bertujuan memartabatkan integriti sebagai budaya kerja warga Prasarana, ditandatangani Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Datuk Seri Azmi Abdul Aziz dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad.
Mengenai perjanjian itu, Azam berkata ia tidak boleh dianggap sekadar retorik atau simbolik semata-mata sebaliknya merupakan satu iltizam sebuah syarikat ke arah memastikan ia dapat berkembang seiring pematuhan nilai integriti dalam setiap urusan yang dijalankan.
Beliau berkata kerjasama dengan Prasarana itu turut memberi peluang kepada SPRM untuk menyebarluaskan mesej-mesej berkaitan rasuah dan pencegahan menerusi iklan di stesen dan ruangan informasi di dalam LRT, Monorel dan Bas RapidKL.
Dalam pada itu, Pengerusi Kumpulan Prasarana Tan Sri Ismail Adam berkata pihaknya sedia menawarkan platform bagi SPRM menyebarkan hal barkaitan integriti di setiap perkhidmatan yang disediakan syarikat itu sebagai menyambut saranan kerajaan untuk bersama-sama membanteras rasuah.
Melalui perjanjian itu, katanya Prasarana dan SPRM akan bekerjasama berkongsi kepakaran daripada aspek operasi, pengesanan, khidmat rundingan, penyaluran maklumat dan latihan bagi memantapkan lagi penguasaan nilai-nilai integriti dalam Kumpulan Prasarana. – BERNAMA

