KUALA LUMPUR – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) berharap kerajaan akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Konvensyen Dugong Mengenai Spesies Penghijrah (CMS) menjelang Mac tahun depan untuk membantu memulihara dugong di negara ini.
Ketua pengarahnya, Datuk Ismail Abu Hassan, berkata langkah itu penting untuk membolehkan Malaysia menjadi sebahagian daripada platform antarabangsa bagi melindungi dan memulihara spesies dugong memandangkan negara ini terlibat dengan pemuliharaan dugong sejak 1998.
“Setakat ini, 26 negara telah menandatangani MoU itu dengan CMS. Tidak banyak negara mempunyai dugong di perairan mereka dan di Malaysia, lebih 100 dugong ditemukan, dengan sebahagian besarnya di Johor.
“Malah, di Johor, kita ada pusat menyelamat bagi dugong yang cedera,” kata Ismail pada sidang akhbar mengenai Projek Pemuliharaan Dugong dan Rumpai Laut Global di sini hari ini.
MoU Dugong itu bertujuan memperkemaskan lagi tindakan bersama antarabangsa bagi memastikan kelangsungan hidup jangka panjang dugong dan habitat rumpai lautnya.
Ismail berkata di Malaysia, kebanyakan dugong terdapat di Johor, Sarawak dan Sabah, manakala di Johor sahaja, sekurang-kurangnya 26 dugong dikesan Jabatan Perikanan dan dan Jabatan Taman Laut.
“Dugong dikesan melalui tinjauan dari udara di pantai timur Kota Tinggi, Mersing, Pulau Sibu dan Pulau Tinggi.
“Di Sabah, dugong direkodkan di kawasan Teluk Sandakan dan Teluk Labuk, Pulau Tambisan, pelabuhan Kota Kinabalu, Kuala Penyu, Pulau Labuan, Pulau Manukan, Pulau Banggi, manakala di Sarawak, dugong dikesan di Teluk Brunei dan Lawas,” katanya.
Sementara itu, pengurus program yang bertanggungjawab bagi pelaksanaan MoU Dugong di bawah Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa Bersatu Dr. Donna Kwan berkata dugong memerlukan 40kg rumpai laut sehari untuk hidup.
“Oleh itu, kami berharap Malaysia akan menandatangani MoU berkenaan bagi membolehkan kami melaksanakan pelbagai projek untuk membantu usaha pemuliharaan, satu daripadanya dengan menyediakan jumlah rumpai laut secukupnya bagi spesies dugong,” katanya pada sidang akhbar itu.
Menurut beliau, dugong menghadapi risiko tinggi untuk lemas ketika mencari rumpai laut untuk dimakan apabila tersangkut pada pukat ikan kerana dugong perlu bernafas setiap lima hingga tujuh minit.
Melalui kerjasama dengan pelbagai agensi, pada 2015, Jabatan Perikanan memperkenalkan alat dikenali sebagai ‘Turtle Excluder Device’ (TED) kepada bot nelayan udang di pantai timur dan langkah itu bukan sahaja dapat mengelak penyu, malah anak dugong juga daripada tersangkut pada pukat.
Dugong dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Perikanan 1999 (Kawalan Spesies Ikan Terancam) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan, Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dan Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 bagi Sarawak dan Sabah. – BERNAMA

