KUALA LUMPUR – Beberapa saksi akan dipanggil untuk siasatan dalaman insiden tren kargo tergelincir di Kampung Bakap berhampiran Stesen Batu Gajah, Perak, Jumaat lepas.
Keretapi Tanah Melayu Berhad berkata siasatan itu dijangka selesai dalam dua minggu dengan memperolehi maklumat dalaman.
“Setelah siasatan dan laporan disiapkan, ianya akan diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat untuk penilaian dan tindakan selanjutnya,” kata KTMB dalam satu kenyataan hari ini.
KTMB berkata ia berusaha untuk memulihkan landasan yang masih terjejas dalam masa tujuh hari lagi.
Pada kejadian 3.15 pagi pada 28 Okt itu, dua lokomotif dan 25 gerabak tergelincir daripada landasan di KM200.33 Kota Bharu-Lahat, Perak.
Keretapi yang terdiri daripada dua lokomotif dan 40 gerabak asalnya sedang dalam perjalanan dari Kuang, Selangor, menghala ke Tasek, Perak, untuk mengambil muatan simen.
KTMB berkata perkhidmatan tren KTMB telah beroperasi seperti biasa pada pukul 3 petang semalam.
Bagaimanapun, perkhidmatan tren tersebut mengalami kelewatan sekitar 30 minit kerana menggunakan satu landasan sahaja.
Untuk sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200 atau layari laman sesawang rasmi KTMB www.ktmb.com.my. – BERNAMA

