CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Pos Malaysia serta syarikat-syarikat telekomunikasi akan mewujudkan 100 Ejen Berdaftar Pos di Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) terpilih di seluruh negara secara berperingkat menjelang 2020.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata projek perintis bagi ejen berdaftar pos itu akan dilaksanakan di lapan buah PI1M iaitu lima di Sabah dan tiga di Sarawak bulan depan.
Lokasi PI1M terlibat ialah Kampung Pandan (Lundu), Niah Suai (Miri), Kampung Jepak (Bintulu) di Sarawak dan Pekan Kinabatangan, Pekan Bingkor Laut (Keningau), Kampung Rampayan Laut (Kota Belud), Sungai Kayu dan Batu Sepi (Sandakan) di Sabah, katanya.
Jailani berkata demikian pada Majlis Jalinan Kerjasama Strategik SKMM bagi projek Ejen Berdaftar Pos di sini hari ini.
Ejen Berdaftar Pos akan menawarkan produk dan perkhidmatan seperti penjualan sampul dan kotak prabayar Pos Laju serta Pos Ekspress, perkhidmatan panggilan sebelum penghantaran (ODP), penerimaan penghantaran Pos Laju (walk-in), penjualan setem dan Flexipack (domestik) dan penjualan Pos Berdaftar.
Jailani berkata perkhidmatan Ejen Berdaftar Pos itu yang dilengkapi kemudahan internet jalur lebar mampu memperkasakan penduduk luar bandar dan kumpulan B40 dalam bidang e-Dagang.
“Saya percaya projek Ejen Berdaftar Pos akan menjadi pemangkin perubahan kepada masyarakat sekitar lokasi PI1M kerana mereka akan menikmati dan mendapat manfaat daripada perkhidmatan internet berkelajuan tinggi dan kemudahan IT,” katanya.
Inisiatif Ejen Berdaftar Pos itu juga merupakan satu usaha untuk memacu industri pos dan kurier di negara ini, khususnya program Pelan Transformasi Pos Sabah dan Sarawak (PTPSS).
Jailani turut mencadangkan Pos Malaysia menyediakan pek prabayar khas PI1M dengan kadar yang menarik bagi membantu rakyat luar bandar memasarkan produk-produk di dalam dan luar negara.
“Melalui pek khas ini, saya yakin kita dapat mempromosikan peranan PI1M sebagai pusat komuniti luar bandar dengan lebih berkesan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata Pos Malaysia akan melancarkan pek prabayar khas PI1M bagi mempromosikan aktiviti e-Dagang di luar bandar Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata pek khas dalam 1 kilogram akan dijual dalam dua bentuk – pek biru (RM16.96) untuk pengeposan antara Sabah dan Sarawak ke Semenanjung atau sebaliknya manakala pek merah (RM10.50) untuk pengeposan sekitar Sabah dan Sarawak. – BERNAMA

