KUALA LUMPUR – Seorang pemandu teksi, yang menumbuk seorang anggota polis trafik semasa diminta memberi kad pengenalannya untuk pemeriksaan, didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Umzarul An-Nur Umar menjatuhkan hukuman itu terhadap T. Jayaganesan, 38, selepas dia mengaku bersalah dengan sengaja menumbuk muka Muhammad Farizal Azrie Mohd Fudzi, 26, seorang penjawat awam yang melakukan tugasnya.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tepi Jalan Pahang, di sini pada 10.10 pagi 1 Julai lepas mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, yang memperuntuk hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, ketika Muhammad Farizal Azrie membuat rondaan dengan menunggang motosikal, tertuduh yang memandu teksinya telah melanggarnya dari arah belakang sehingga mangsa terjatuh.
Anggota polis itu, yang cedera di lutut dan luka di tangan, bangun lalu meminta kad pengenalan dan lesen memandu tertuduh tetapi dia enggan memberi kerjasama dan menuduh mangsa menyamar sebagai anggota polis sebelum mengeluarkan telefon bimbitnya untuk merakam video mangsa.
Mangsa cuba menghalang dan mahu merampas telefon bimbit tertuduh tetapi telefon itu terjatuh menyebabkan tertuduh berang dan menumbuk muka mangsa.
Ketika rayuan, tertuduh yang diwakili peguam P.Chandra, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda dengan alasan tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira tindakan tertuduh yang mencederakan anggota polis itu ketika beliau menjalankan tugas. – BERNAMA

