KOTA KINABALU – Mendiang Tan Sri Henry Chin meninggalkan legasi sebagai seorang yang komited, berdedikasi dan disiplin sepanjang perkhidmatannya dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata walaupun selepas persaraan sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur, mendiang terus aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dengan tumpuan kepada pendidikan dan kebajikan.
Mendiang adalah bekas Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan naib pengerusi Yayasan Pemcegahan Jenayah Malaysia (MCPF) serta anggota Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di Sabah.
“Bagi pihak keluarga saya, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang atas kehilangan ini. Kita kehilangan seorang insan yang tidak lokek meluangkan masa dan usaha…seorang insan yang menjadi sahabat kepada ramai,” katanya kepada media selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang di rumah urus mayat di sini, hari ini.
Mending berkhidmat dengan PDRM selama lebih 38 tahun sebelum bersara pada 1993. Chin, 79, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur, Ahad lepas.
Mendiang meninggalkan isteri, Puan Sri Shirley Cheng Hua Chien, 72 serta dua anak. – BERNAMA