KUANTAN – Seorang penyelia syarikat mengorek pasir dijatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda sebanyak RM10,000 atas kesalahan memberi suapan kepada anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada 17 Okt lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen Kuantan Datuk Habibah Mohamed Yusof menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Toong Soo Hing, 58, setelah mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan kepadanya.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memberikan suapan wang tunai RM400 kepada Pembantu Penguatkuasa dari Unit Pasukan Tindakan Khas JPJ, D. Jal Chandra di Jalan Bypass Mentakab-Temerloh, Temerloh kira-kira 8.45 pagi, 17 Okt lalu.
Wang tersebut sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas empat buah lori di bawah seliaannya yang disyaki membawa pasir lebih muatan yang merupakan kesalahan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) (Pindaan 2014) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Jika gagal membayar denda terbabit, tertuduh berdepan hukuman penjara lima bulan, bagaimanapun tertuduh membayar denda berkenaan.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Faisal Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang pemandu lori M. Kanabathi, 49, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberikan suapan RM90 kepada Pembantu Penguatkuasa Unit Pasukan Tindakan Khas JPJ, Ahmad Zaid Kamarul Awang di Jalan Temerloh-Mentakab, Temerloh pada 17 Okt lalu.
Suapan berkenaan sebagai dorongan supaya tiada tindakan undang-undang diambil ke atas lori dipandunya yang dipercayai membawa pasir lebih muatan iaitu kesalahan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) (Pindaan 2014) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM5,000 dan 29 Nov depan sebagai tarikh sebutan semula kes, dan tertuduh membayar wang ikat jamin berkenaan. – BERNAMA

