JOHOR BAHRU – Pembentangan Bajet 2017 diharapkan dapat melihat peruntukan yang mampu meringankan beban institusi pengajian tinggi, sekali gus membantu kelangsungan universiti dalam menghadapi ekonomi dunia yang semakin mencabar.
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Datuk Dr. Wahid Omar berharap pembentangan bajet yang akan dibentangkan pada 21 Oktober ini sedikit sebanyak diharap dapat membantu meringankan beban yang telah ditanggung oleh institut pengajian tinggi selama ini.
UTM, misalnya beroperasi dengan bajet yang terhad daripada peruntukan kerajaan tetapi pembiayaannya dibantu menerusi sumber dana sendiri yang bukan sesuatu yang kukuh untuk dijadikan tempat bergantung, katanya.
“Harapan saya pada bajet tahun ini agar kerajaan dapat memberi sedikit keselesaan kepada universiti, kita pun tidak mengharapkan kerajaan menanggung segala perbelanjaan kewangan kita.
Kita ada dana yang datang dari agensi dan syarikat di bawah universiti tetapi kita tidak boleh menaruh harapan sepenuhnya pada dana tersebut,” kata beliau kepada pemberita di UTM, di sini hari ini.
Menurut Wahid, gaji pekerja dibayar kerajaan namun perbelanjaan seperti bil-bil dan penyelenggaraan misalnya perlu ditanggung oleh universiti sendiri.
Meskipun, universiti itu telah bersedia dengan perancangan kewangan tersendiri namun perancangan itu dijangka hanya boleh direalisasikan pada tahun 2020.
“Pengurangan bajet tahun lalu menyebabkan kita terpaksa melaksanakan perancangan tersebut lebih awal, dan untuk itu kita perlukan masa untuk menyesuaikan diri.
Buat masa ini kita belum mampu berjalan sendiri,” tambah Wahid.
Wahid berkata universiti telah melaksanakan pelbagai langkah berhemat termasuk urusan kerja di luar oleh pensyarah terpaksa menggunakan duit sendiri dan mesyuarat di Kuala Lumpur diadakan menggunakan video “live streaming”.
“Kita juga ada mengutip derma wakaf daripada 500 orang staff-staff kita berjumlah RM200,000, jadi semangat berkorban itu UTM dah ada dan kita juga telah mempunyai perancangan kelestarian kewangan UTM itu sendiri,” kata Wahid. – BERNAMA

