KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hari ini membentangkan usul di Dewan Rakyat bagi mengiktiraf dan mengucapkan tahniah kepada wira dan wirawati serta keseluruhan kontinjen negara yang mencatatkan kejayaan membanggakan pada sukan Olimpik dan Paralimpik Rio 2016.
Beliau berkata usul tersebut sebagai meraikan detik kebersatuan yang dicipta kontinjen negara itu melalui kejayaan bersejarah yang dilakar khususnya oleh atlet-atlet yang membawa pulang pingat untuk Malaysia.
Katanya ia juga bagi mempersetujui keputusan kerajaan untuk memberi insentif kepada atlet biasa dan atlet kurang upaya yang telah memenangi pingat serta menyeru pihak swasta, media, dan komuniti masyarakat untuk mengekalkan tahap sokongan kepada atlet negara.
“Kita juga menyokong segala usaha untuk mengekalkan momentum kejayaan sukan Malaysia ke arah Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN di Kuala Lumpur 2017,” katanya ketika membentangkan usul berkenaan pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beberapa atlet turut hadir pada persidangan Dewan Rakyat itu termasuk pemenang pingat emas lontar peluru Paralimpik Muhammad Ziyad Zolkefli; pelari pecut paralimpik Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi; atlet terjun Pandelela Rinong dan atlet lumba basikal Azizulhasni Awang.
Di Olimpik Rio, kontinjen negara meraih empat pingat perak dan satu gangsa, iaitu pencapaian terbaik sepanjang penyertaan Malaysia di Sukan Olimpik sejak kali pertama pada 1956.
Pasukan badminton negara menyumbangkan tiga pingat perak menerusi Datuk Lee Chong Wei, beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.
Pingat perak turut disumbangkan pasangan penerjun Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong menerusi acara 10m platform seirama wanita manakala pelumba Azizulhasni Awang meraih pingat gangsa bagi acara keirin.
Kontinjen paralimpik negara turut meraih pencapaian terbaik di Rio dengan memperoleh tiga pingat emas dan satu gangsa, sekaligus menamatkan cabaran di temasya berprestij itu pada kedudukan ke-36.
Selain Muhammad Ziyad, dua lagi pemenang pingat emas ialah Mohamad Ridzuan dalam acara 100m T36 dan Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh T20 manakala, Siti Noor Radiah Ismail memenangi pingat gangsa dalam acara lompat jauh T20. – BERNAMA