SEPASANG suami isteri sanggup meninggalkan bayi kembar siam mereka di sebuah hospital di Dhaka, Bangladesh baru-baru ini.
The Daily Star melaporkan, bayi berkenaan dilahirkan dengan dua kepala, empat tangan dan dua kaki ditinggalkan ibu bapa mereka selepas mendaftar di unit bedah pediatrik Hospital Kolej Perubatan Dhaka kira-kira jam 2 pagi.
Timbalan Pengarah hospital, Dr. Khaja Abdul Gafur berkata, dua individu yang berusia 40 hingga 45 tahun datang ke unit pediatrik bersama kembar siam mereka.
Menurutnya, doktor bertugas mengarahkan mereka untuk mendapatkan tiket bagi pendaftaran tetapi pasangan itu melarikan diri sekaligus meninggalkan bayi mereka.
“Bayi kembar siam ini akan dijaga oleh penyelia wad kanak-kanak hospital, Zillur Rahman untuk sementara waktu ini,” katanya.

Menurutnya, bayi kembar siam itu dipercayai dilahirkan di sebuah klinik yang tidak diketahui di Dhaka dan dibawa ke hospital berkenaan pada malam Jumaat lalu.
Seorang jururawat yang menjaga bayi itu, Nasima Akther Beauty berkata, bayi kembar siam itu boleh bergerak, kencing dan menangis.
Sementara itu, Prof Shahnoor Islam yang mengawasi rawatan kembar siam berkenaan menjelaskan, kembar tersebut mempunyai masalah pernafasan dan kemungkinan menghidapi penyakit komplikasi jantung.
“Pemeriksaan perubatan akan dilakukan bagi mengetahui keadaan kembar siam ini,” katanya.
Beliau menjelaskan agak sukar untuk memisahkan kembar siam ini kerana kedua-duanya berkongsi banyak abdomen badan. – MYNEWSHUB.CC

