• About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact
Wednesday, May 20, 2026
  • Login
MYNEWSHUB
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral
No Result
View All Result
MYNEWSHUB
No Result
View All Result

Liwat Tidak Berlaku – Kata Pihak Pembelaan

oleh AK-47
07/11/2014
dalam Politik
0
Share on FacebookShare on Twitter

PUTRAJAYA — Perbuatan liwat di antara penasihat PKR Datuk Seri
Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak pernah
berlaku, pihak pembelaan memberitahu Mahkamah Persekutuan hari ini.

Peguam utama Anwar Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata berkata ini disebabkan,
satu permaidani sutera China di unit 11-5-1, di mana kejadian liwat yang didakwa
berlaku, ditemui di unit kondominium yang lain, 11-5-2.

Beliau berkata permaidani itu dirampas oleh pegawai polis forensik Supt Amidon
Anan untuk profil DNA selepas dia pergi ke kondominium itu dengan pegawai
penyiasat dan Mohd Saiful untuk mengumpulkan eksibit.

Sri Ram berkata Amidon, dalam testimoninya, memberitahu Mahkamah Tinggi
bahawa beliau hanya menjumpai rambut di unit 11-5-1.

“Pihak pendakwaan mendakwa permaidani itu dipindahkan. Tidak ada bukti
bahwa permaidani itu dipindahkan. Permaidani tidak boleh dipindahkan ke unit
yang lain. saya tidak percaya mengenai permaidani terbang,” katanya, sehingga
menyebabkan kalangan mereka yang berada dalam mahkamah yang sesak itu ketawa.

Sri Ram berkata satu-satunya individu yang dapat mengesahkan fakta ini adalah
pemilik kondominium, Hasanuddin Abd Hamid, tetapi pihak pendakwaan tidak pernah
memanggilnya untuk memberi keterangan.

Panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria
mendengar rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap pemimpin
pembangkang itu yang dikenakan oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun ini selepas
ia mengubah keputusan Mahkamah Tinggi untuk membebaskan Anwar.

Empat hakim yang lain dalam panel Mahkamah Persekutuan itu adalah Presiden
Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan
Sri Abdull Hamid  Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Mahkamah Rayuan mendapati Anwar, 67, bersalah kerana meliwat bekas
pembantunya, Mohd Saiful Bukhari, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara
di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun
2008.

Pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara
sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Menjawab pertanyaan Hakim Abdull Hamid sama ada permaidani itu telah
ditunjukkan kepada Mohd Saiful Bukhari sepanjang perbicaraan itu, Sri Ram
berkata pengadu telah mengenal pasti eksibit itu.

Hakim Arifin juga bertanya Sri Ram tentang dua unit yang terletak
bertentangan satu sama lain, yang menyebabkan peguam Ramkarpal Singh Deo bangun
dan menjelaskan bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah melawat kondominium itu.

“Namun ia tidak dicatat dalam nota prosiding,” kata Hakim Arifin.

Menjawab soalan Hakim Md Raus, Sri Ram berkata tidak ada penjelasan dan
keterangan tentang mengapa permaidani itu dipindahkan.

“Kegagalan untuk menjelaskan mengapa permaidani itu dipindahkan ke unit
lain telah merosakkan kes pendakwaan.

“Kami berhujah bahawa perbuatan liwat tidak pernah berlaku. Pihak
pendakwaan telah membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa perayu tidak
pernah meliwat Mohd Saiful (Bukhari),” katanya.

Sri Ram juga berkata walaupun pihak pendakwaan berpendapat bahawa perbuatan
liwat itu dilakukan di atas permaidani dan Mohd Saiful Bukhari memberi
keterangan bahawa dia dipaksa duduk di atas permaidani itu, pegawai forensik itu
tidak menemui apa-apa kesan pada eksibit.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan daripada empat doktor yang memeriksa
Mohd Saiful Bukhari, tidak terdapat penetrasi pada dubur pengadu.

Sekali lagi, Sri Ram menyerang kredibiliti Mohd Saiful Bukhari dan
melabelkannya sebagai saksi yang tidak boleh dipercayai, dengan menyatakan
keterangannya berkaitan dengan dakwaan liwat benar-benar sebuah cerita fiksyen.

Sri Ram berhujah bahawa Mohd Saiful Bukhari telah menjadikan insiden liwat
itu lebih menarik dengan menambah pelbagai rencah bagi menyedapkan cerita itu.

Beliau berkata pokok kes pendakwaan adalah keterangan daripada saksi utama,
Mohd Saiful Bukhari. Oleh itu, jika keterangannya tidak dapat dipercayai,
keseluruhan kes itu rosak, katanya.

Sri Ram berkata Mohd Saiful Bukhari, dalam keterangannya, telah menjadikan
Anwar sebagai idola namun keterangan di hadapan mahkamah melalui Mohd Najwan
Halimi, rakan pengadu, bahawa dia (Mohd Saiful Bukhari) membenci pemimpin
pembangkang itu semasa dia menuntut di Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

Beliau berkata, keterangan Mohd Najwan menunjukkan bahawa pengadu adalah
pro-Barisan Nasional dan sentiasa memuat naik foto beliau dengan
pemimpin-pemimpin negara, dan Mohd Saiful Bukhari juga menulis kapsyen tertuduh
sebagai ‘Anwar pemimpin munafik’.

Sri Ram juga menegaskan bahawa Mohd Najwan terkejut setelah mengetahui
bahawa pengadu bekerja dengan Anwar.

Beliau juga menyifatkan Mohd Saiful Bukhari sebagai oportunis selepas
pengadu bertemu Timbalan Perdana Menteri ketika itu (Datuk Seri Najib Tun Razak)
di kediaman Najib untuk mendapatkan perakuannya bagi membolehkannya mendaftarkan
diri dalam kursus juruterbang.

Sri Ram berkata pengadu takut untuk membuat laporan polis selepas
kejadian liwat itu. Beliau berkata Mohd Saiful Bukhari mempunyai motif
tersembunyi dan, dengan itu,  mahkamah tidak boleh menerima pengakuannya.

Sri Ram menegaskan bahawa Mohd Saiful Bukhari bukan “budak biasa”
memandangkan dia cuba mendapatkan maklumat daripada Timbalan Pendakwa Raya Farah
Azlina Abdul Latif, yang sebelum ini terlibat dalam kes liwat di peringkat
Mahkamah Tinggi, dengan menggodanya.

“Cerita saya bukanlah mengenai permaidani terbang dalam Kisah Seribu Satu
Malam. Cerita saya ini benar,” katanya.

Sri Ram juga membangkitkan isu sut Brioni yang didakwa Mohd Saiful Bukhari
telah diberikan kepadanya oleh Anwar, dan berkata bahawa apabila seluar
(daripada sut Brioni) dikemukakan di mahkamah, ia tidak mempunyai label.

Beliau berkata pihak pembelaan ragu-ragu sama ada ia adalah sut Brioni atau
‘brownie’.

Ketua pasukan pendakwaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kemudian bangun
dan memaklumkan mahkamah bahawa perkataan itu adalah ‘Brioni’ dan secara
berseloroh berkata ia kedengaran seperti  ‘beriyani.

Sri Ram akan meneruskan hujahnya pada pukul 3 petang esok.– BERNAMA

Tags: Liwat
Share197Tweet123SendShare

Related Posts

Warga Asing Lapor Polis, Diliwat Kenalan Gimnasium

Warga Asing Lapor Polis, Diliwat Kenalan Gimnasium

06/07/2024
45

Petaling Jaya : Tindakan lelaki warga asing yang menerima pelawaan kenalan baru dikenali di gimnasium untuk berbual di rumah bertukar...

Ibu Kelar Bayi: Polis Ambil Keterangan Enam Individu

Suspek Liwat Dua Remaja 15 Tahun Direman Tiga Hari

19/03/2024
0

MERSING: Seorang lelaki ditahan reman tiga hari untuk siasatan kes liwat dua remaja lelaki berusia 15 tahun. IKUTI CHANNEL MYNEWSHUB...

MYNEWSHUB

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd

Navigate Site

  • About
  • Advertise
  • Privacy & Policy
  • Contact

Follow Us

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Utama & Sensasi
  • Berita
    • Antarabangsa
    • Dalam Negara
    • Ekonomi
    • Jenayah
  • Politik
  • Gaya Hidup
    • Agama
    • Artis
    • Gajet
    • Kesihatan
    • Resepi
    • Sukan
  • Hangat
  • Video Viral

© Hakcipta Terpelihara Mynewshub. Dikuasakan oleh Infinity Media Digital Sdn Bhd