KUANTAN – Mayat seorang lelaki yang lengkap berpakaian dijumpai terapung pada kedudukan 12 batu nautika perairan Tanjung Batu di Nenasi, Pekan, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Pekan DSP Amran Sidek berkata mayat itu ditemukan sekumpulan nelayan pada Rabu lepas, dalam keadaan reput kerana dipercayai telah meninggal dunia antara dua hingga tiga minggu lalu.
“Mangsa memakai seluar pendek bercorak petak dan baju-t warna biru, bertubuh sederhana dengan ketinggian 155 sentimeter.
“Polis tidak dapat mengesahkan identiti mayat kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui atau tanda lain ekoran keadaannya yang reput,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Amran menambah bedah siasat yang dijalankan mengesahkan tiada unsur jenayah berlaku dan kematian disebabkan lemas.
Sehubungan itu, Amran meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau rakan untuk menghubungi Balai Polis Nenasi bagi tujuan pengecaman. – BERNAMA
(Video di bawah bukan kejadian di atas – hanya hiasan)Â

