GEORGE TOWN – Sebuah syarikat dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tempoh sembilan bulan.
Tiga pengarah Syarikat Razortech Enterprise Sdn Bhd, Teoh Chin Ching, 65, Teoh Wee Let, 37, dan Teoh Evon, 35, meminta kes dibicarakan selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Irwan Su Ain Bon.
Bagaimanapun, mereka tidak hadir di mahkamah dan diwakili oleh wakil syarikat dan peguam S.N Rajan.
Syarikat pembekal alat ganti motosikal itu didakwa gagal mengemukakan penyata GST bagi tempoh bercukai dari April 2015 hingga Disember 2015 mengikut Seksyen 41(6) Akta GST 2014 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mereka didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bahagian GST, Cawangan Pendaftaran dan Pengurusan Hasil GST, Kompleks Kastam Seberang Jaya, Lot 5492, Jalan Perpustakaan, Lebuh Tenggiri Seberang Jaya, dekat sini, pada 1 April 2015 dan 1 Dis 2015.
Mahkamah menetapkan 17 November ini untuk sebutan semula kes manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Abd Malik Awang Kechik daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia. – BERNAMA

