DHAKA – Seorang bayi tidak cukup bulan yang diisytiharkan mati kemudian menangis ketika hendak dikebumikan akhirnya meninggal dunia buat kali kedua di Bangladesh semalam.
Kematian Galiba Hayat, disahkan Perunding Pusat Penjagaan Intensif Neonatal (NICU) hospital Square, Aftab Yusuf Raj pada pukul 11.45 malam, lapor akhbar tempatan The Daily Star.
Menurutnya, bayi yang lahir selepas 23 minggu dalam kandungan dengan berat hanya 450 gram itu dilaporkan mengalami masalah jantung dan terkena jangkitan.
“Pakar sudah berusaha sedaya mungkin untuk menyelamatkannya tetapi gagal,” katanya.
Terdahulu, pengamal perubatan itu berkata, pihaknya kagum bagaimana bayi yang mengalami pendarahan di beberapa bahagian tubuhnya masih hidup.
Bayi itu diletakkan di bawah penjagaannya selepas dimasukkan ke hospital itu kira-kira pukul 7.30 petang Sabtu lalu.
Anak sulung kepada pemain pasukan kriket daerah, Najmul Huda dan isterinya, Naznin Akhter, dilahirkan tidak cukup bulan Khamis lalu di Faridpur, kira-kira 140 kilometer dari Dhaka.
Dua jam selepas dilahirkan, doktor di sebuah hospital di Faridpur, Rejia Alom mengisytiharkan kematiannya dan kemudian dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan, lapor bdnews24.
Pihak pengurusan Jahid Memorial Child Hospital di mana bayi itu dilahirkan kini menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyiasat insiden berkenaan. – Agensi/BH ONLINE

