PENYANYI antarabangsa, Justin Bieber, 22, dilaporkan diserang oleh seorang lelaki yang tidak dikenali ketika berada di sebuah kelab di Jerman, Jumaat lalu.
Menurut sumber, Justin ditolak dengan kasar ketika ingin meninggalkan kelab tersebut dan dia diselamatkan oleh seorang wanita yang berada di kelab itu.
“Justin diserang, ditolak secara kasar secara tiba-tiba oleh individu yang tidak dikenali. Dia tidak mengenali lelaki itu.
“Nasib baik Justin sempat diselamatkan oleh seorang wanita selepas lelaki itu menolaknya dengan kasar,” kata sumber.
Difahamkan, lelaki itu berada dalam keadaan mabuk dan mula menganggu Justin sejak dari dalam kelab tersebut tetapi tidak dilayan penyanyi itu.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kelab itu berjaya merakamkan insiden berkenaan dan ia juga menunjukkan rakan perniagaan Justin, John Shahidi dilihat menangkap lelaki tersebut daripada terus bertindak agresif.-MYNEWSHUB.CC

