PENYANYI Chris Brown dilarang memasuki Tokyo susulan rekod dakwaan jenayah yang dilakukan olehnya, walaupun untuk menjayakan dua konsert yang telah drancang di negara tersebut.
Pegawai konsulat Jepun memberitahu, undang-undang Jepun tidak menerima mana-mana tetamu yang mempunyai rekod jenayah atau berstatus sedang disiasat pihak berkuasa mana-mana negara memasuki negara tersebut, walaupun atas urusan kerja.
Chris Brown, 27, sebelum ini didakwa mengacukan sepucuk pistol terhadap seorang wanita di kediamannya selepas mereka bertikam lidah mengenai masalah barang kemas.
Walau bagaimanapun dikatakan untuk menjaga privasi dan nama Chris, jualan tiket konsertnya di Jepun diumumkan terpaksa ditunda dengan alasan masalah berkaitan visa.
Peminat yang sudah membeli tiket turut dinasihati memulangkan tiket untuk mendapatkan semula wang mereka.
Dalam pada itu, Chris membantah dakwaan yang difailkan wanita bernama Baylee Curran dan mendakwa ianya tidak berasas sama sekali.
Menurut peguam penyanyi itu Mark Geragos, pihak polis tidak menjumpai sebarang barang kemas yang menyerupai dengan keterangan Baylee ataupun senjata seperti yang didakwa. – MYNEWSHUB.CC

