KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak mampu menaja semua pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di luar negara.
Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa berkata, Mara kebiasaannya menaja pelajar terpilih di bawah skim pelajar cemerlang (SPC).
Justeru, beliau menyifatkan pihak yang mempersoalkan mengapa Mara tidak menaja pelajar di negara tertentu keliru tentang tajaan Mara.
“Banyak yang masih keliru soal tajaan belajar. Kerajaan termasuk Mara memang ada menaja pelajar ke Indonesia termasuk Bandung
“Malah Mara ada pejabat di Jakarta untuk menguruskan pelajar tajaannya. Namun tidak bermakna Mara mesti menaja semua pelajar yang memilih belajar di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kekecewaan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali kerana ada pelajar Malaysia yang menuntut di beberapa universiti di Bandung tidak mendapat tajaan Mara.
Menurut Ibrahim Ali, pelajar yang menuntut dalam bidang pergigian, perubatan dan farmasi sewajarnya mendapat tajaan kerana mereka layak serta menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) yang diiktiraf.
Annuar bagaimanapun mengakui Mara ada menaja pelajar sendirian di luar negara tetapi selepas setahun mereka di sana dan mencatat keputusan cemerlang.
Namun, katanya, tajaan itu tetap bergantung kepada peruntukan Mara yang terbatas maka agensi itu tidak dapat menampung kesemua pelajar terbabit.
Justeru, beliau berharap isu tajaan Mara itu difahami dalam perspektif yang betul kerana Mara akan terus membantu berdasarkan kemampuan kewangan. – mynewshub.cc

