SEJAK kebelakangan ini banyak akaun laman sosial para selebriti antarabangsa dan tempatan yang digodam pihak tidak bertanggungjawab dilaporkan pihak media.
Antara yang pernah menjadi mangsa sebelum ini ialah Emma Maembong, Jihan Muse, Izreen Azminda, Mizz Nina, Syatilla Melvin dan yang terbaharu ialah pelawak dan pelakon terkenal, Nabil Ahmad.
Menurut hos program Meletop itu, isterinya, Nazirah Ayub mula menyedari laman Instagram (IG) perkongsiannya dan isteri, Ziranabil yang memiliki 1.2 juta pengikut digodam, petang semalam.


Memetik BH Online, Nabil menyatakan, “Zira yang menyedari akaun kami digodam apabila tidak dapat memasukkan kata laluan Instagram, semalam.
“Apabila dia cuba untuk memasukkan kata laluan baharu, emel yang diterima bukan emel sebenar kami.
“Sudah pasti keadaan ini menyukarkan tugasan harian termasuk komitmen terhadap urus niaga dengan pelanggan serta pengiklan. Sebagai langkah lanjut, saya membuka akaun baharu dengan nama Nabilzira.”

“Tidak sangka dalam saya mengambil langkah berjaga-jaga selepas mengetahui beberapa rakan selebriti sebelum ini pernah menjadi mangsa godam, akhirnya terkena jua,” katanya.
Untuk makluman, kebanyakan penggodam bertindak mengodam laman IG artis terkenal dengan tujuan untuk menjual IG tersebut terhadap mana-mana individu atau perniagaan untuk membolehkan mereka memiliki jumlah pengikut yang ramai seperti yang diraih para selebriti yang digodam itu. – MYNEWSHUB.CC

