IPOH – Satu lagi kes ragut dilapor berlaku di Bercham dekat sini tengah malam tadi.
Kali ini ia melibatkan seorang wanita berumur 21 tahun berhampiran Taman Perak kira-kira 12.15 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata akibat kejadian berkenaan mangsa cedera dan pengsan.
“Ketika sedang menunggang motosikalnya, wanita itu telah dihampiri seorang lelaki yang juga menunggang motosikal. Sampai di satu selekoh, tiba-tiba suspek menarik beg sandang di belakang mangsa sehingga menyebabkannya terjatuh dari motosikal.
“Wanita itu pengsan dan cedera di bahagian bahu, siku dan peha. Mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) oleh seorang lelaki yang berhenti di situ,” katanya kepada pemberita.
Namun peragut gagal mengambil barang-barang mangsa.
Sum berkata pihak polis tidak menolak kemungkinan tiga kes ragut yang kesemuanya membabitkan mangsa wanita di Bercham sepanjang bulan ini dilakukan suspek yang sama.
“Suspek meragut mangsa apabila melihat mereka berjalan atau menunggang motosikal berseorangan. Kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu siasatan,” katanya.
Mengenai penemuan mayat seorang bayi di kafetaria HRPB pada Sabtu lalu, beliau berkata sehingga kini belum ada saksi tampil memberikan maklumat.
“Kita memerlukan maklumat saksi untuk membantu siasatan kerana kawasan kafetaria itu tidak mempunyai kamera litar tertutup,” katanya.
Mayat bayi cukup sifat dan berulat itu ditemukan seorang pekerja hospital semasa melakukan kerja pembersihan kira-kira 11.10 pagi. – BERNAMA

