Seperti biasa, program realiti Akademi Fantasia (AF) tidak pernah lari dengan kejutan pada setiap musim.
Namun menepati agakan orang ramai, musim kali ini akan terus menampilkan seorang pelajar bertuah yang sudah tersingkir di konsert mingguan namun menerusi AF Serap, berpeluang menjadi finalis pada konsert akhir.
Rezeki memihak kepada Adeline Joyce Masidah atau lebih dikenali sebagai Adel, yang sebelum ini tersingkir pada minggu ketujuh.
Keputusan ini diumumkan secara rasmi oleh pengetua AF 2014 Dato’ Hattan sebaik sahaja selepas berlakunya penyingkiran Azwan, Ahad lalu.
Memetik Murai.com, Hattan berkata pemilihan Adel berdasarkan prestasinya yang sentiasa konsisten selain persembahan memukau.
“Bukan senang nak buat pilihan, tujuh orang yang tersingkir semuanya hebat belaka… Pemilihan Adel dibuat atas persetujuan tenaga pengajar dan pihak fakulti.
“Kami memilih setelah meneliti kesemua prestasi dan persembahan mereka dari minggu ke minggu,†kata Hattan.
Akhirnya, kini tinggal lima pelajar sahaja iaitu Firman, Ewal, Adel, Nuha dan Aman yang bakal merentap menunjukkan kehebatan bakal masing-masing di pentas akhir AF 2014.
Siapakah yang bakal merangkul gelaran juara Akademi Fantasia musim ini?
Jangan lupa saksikan jawapannya ahad ini! – MYNEWSHUB.CC
Oleh: KAKAK BUNGA

