KUALA LUMPUR – Projek Aliran Transit Massa (MRT) laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) yang upacara pecah tanah dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, merupakan bukti kesungguhan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat berada pada tahap optimum.
Presiden Majlis Belia Selangor, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim, dalam satu kenyataan hari ini berkata kerajaan sememangnya sentiasa mendahulukan rakyat seiring dengan kelestarian pembangunan bagi manfaat bersama.
“Projek ini merupakan antara projek transformasi secara besar-besaran terhadap perkhidmatan pengangkutan awam agar dapat menjamin keselesaan rakyat serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. Jajaran ke Putrajaya ini sudah pasti akan memberi manfaat yang kepada rakyat setelah ianya siap dibina nanti,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Anggota Parlimen Kuala Selangor berkata Najib serius dalam mentransformasikan sistem pengangkutan awam negara di samping menjaga kebajikan kakitangan kerajaan untuk kemudahan bekerja.
“Ini boleh dilihat melalui tanggungjawab beliau (Najib) dalam mempengerusikan setiap mesyuarat, lawatan turun padang dan melakukan pelancaran bagi setiap jajaran,” katanya.
Beliau turut mengesyorkan pihak penyedia pengangkutan awam supaya memperkukuhkan mutu perkhidmatan bagi meningkatkan keyakinan rakyat dalam menjadikan pengangkutan awam sebagai transit pilihan.
“Projek ini juga antara inisiatif baik dilakukan oleh kerajaan dalam mendukung aspirasi negara. Kita berharap agar projek ini berjalan lancar dan menjadi ‘model’ untuk penyelesaian masalah kesesakan lalu lintas,” katanya.
Projek bernilai RM32 bilion ini merupakan projek kedua selepas laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK). Daripada laluan sepanjang 52.5 kilometer itu, laluan SSP akan mempunyai 37 stesen dengan 11 stesen bawah tanah sepanjang 13.5 kilometer. – BERNAMA

