PEMENANG pingat perak Olimpik Rio 2016, Datuk Lee Chong Wei berpendapat atlet Paralimpik negara adalah sumber inspirasi sebenar dan patut dijadikan teladan buat setiap atlet yang membawa nama negara.
Malah, Chong Wei turut menyatakan pendapatnya bahawa atlet Paralimpik sememangnya layak menerima insentif dan imbuhan yang sama seperti mana atlet Olimpik lain sekiranya mereka berjaya membawa pulang pingat dalam temasya sukan terbesar dunia itu.
“Mereka memang patut dapat, sebab saya rasa mereka lagi susah daripada kami.
“Ada orang yang duduk di kerusi roda. Ada yang satu tangan sahaja, kami tengok pun kasihan semasa berlatih bersama-sama di Bukit Jalil.
“Mereka luar biasa, walaupun tidak sempurna, tapi semangat juang mereka kita boleh nampak di Sukan Paralimpik.
“Semangat mendorong mereka mendapat tiga pingat emas, kami boleh belajar daripada atlet Paralimpik Rio.
“Bukan sahaja saya tetapi pemain muda dan semua atlet perlu belajar daripada mereka,” kata beliau dipetik Stadium Astro.
Tiga atlet Paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohd Puzi, Mohd Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly berjaya memenangi pingat emas buat negara dalam Paralimpik 2016 yang diadakan di Rio de Janeiro, Brazil beberapa minggu selepas Olimpik Rio melabuhkan tirainya.
Atas kejayaan itu, tiga atlet tersebut bakal menerima insentif ganjaran RM 1 juta dan pencen bulanan RM5,000 sebulan daripada Majlis Sukan Negara (MSN).
Baca:Â Tiga Jagoan Buktikan Tiada Yang Mustahil Dalam Dunia
Paralimpik berlangsung dari 7 hingga 18 September ini. – MYNEWSHUB.CC