PELAKON Shah Iskandar memberitahu bahawa dia masih belum berjaya memujuk ibunya untuk berpindah ke Kuala Lumpur kerana ibunya masih berasa keberatan untuk meninggalkan Singapura.
Shah, 33, berkata, ibunya juga tidak mahu meninggalkan kerjayanya di bahagian kewangan di sebuah pasa raya yang terletak di negara itu.
“Saya sudah mengajaknya untuk berpindah ke Malaysia sebelum saya berkahwin. Tetapi ibu saya tidak mahu meninggalkan kerjayanya di Singapura.
“Saya bimbang dengan keadaannya disana dan mahu dia tinggal bersama saya. Saya pun sudah berkahwin dengan orang sini,” katanya kepada mStar Online.
Shah yang baharu mendirikan rumah tangga bersama Siti Sarah, 30, pada Januari lalu juga memberitahu dia lebih suka menghabiskan masanya di rumah bersama isteri sekiranya tidak mempunyai sebarang urusan.
Tambahnya, dia dan Sarah masih dalam proses menyesuaikan diri dengan alam perkahwinan dan saling mengenali dengan lebih baik sebagai pasangan suami-isteri. – MYNEWSHUB.CC

