KUALA LUMPUR – Malaysia akan menentang Hong Kong bagi menentukan juara acara berpasukan campuran Kejohanan Skuasy Universiti Dunia selepas masing-masing mengetepikan lawan separuh akhir mereka hari ini.
Tuan rumah, yang sudah mengatasi pencapaian terbaik memenangi pingat gangsa pada edisi 2008 dan 2014, hanya selangkah daripada mencipta sejarah apabila mengesahkan tiket ke final selepas menundukkan Afrika Selatan 2-0 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.
Terdahulu, Hong Kong yang juga pilihan utama mengesahkan tempat ke final esok selepas menewaskan Jepun, juga dengan keputusan 2-0. Ivan Yuen yang turun sebagai pemain pertama, melunaskan tanggungjawabnya dengan mudah selepas menang ke atas Kyle Maree 11-3, 11-6, 10-12, 11-6.
“Saya bermula baik pada perlawanan tadi dengan memenangi set pertama dan kedua tetapi sedikit hilang tumpuan pada set ketiga dan Kyle menggunakan peluang itu dengan sebaiknya.
“Pada set keempat, saya kembali memberi tumpuan dengan bermain seperti biasa dan tidak lagi memberi peluang kepadanya menguasai perlawanan, seterusnya memenangi set itu,” kata Ivan.
Low Wee Wern, yang baru menjuarai kategori perseorangan wanita dua hari lepas, turun sebagai pemain kedua negara untuk menentang Alexa Pienaar. Pemain berasal dari Pulau Pinang itu hanya memerlukan 26 minit untuk mengesahkan tempat skuad negara ke pentas akhir selepas menewaskan Pienaar 11-6, 11-5, 11-2.
“Skuad negara bermain dengan baik dan saya tidak melakukan sebarang kesilapan untuk terus memenangi perlawanan dengan straight set,” kata Wee Wern.
Sementara itu, jurulatih negara Ong Beng Hee berkata pasukannya hari ini menunjukkan prestasi cemerlang dan ia dapat memberi keyakinan kepada semua pemain untuk beraksi di final esok.
“Sekarang kami sudah melangkah ke final dan sandaran kini diletakkan kepada dua pemain utama iaitu Ivan dan Wee Wern untuk mencipta kejutan,” katanya.
Final esok juga memberi peluang kepada Ivan untuk menebus kekalahannya kepada pemain utama Hong Kong, Tsz Fung Yip di perlawanan akhir acara perseorangan Khamis lepas manakala Wee Wern pula akan mengulangi final perseorangan wanita apabila dijangka bertemu Tsz Wing Tong. – BERNAMA

