RELAKU Pujuk, Aladin, Laukku Cukup Masin, Bila Nak Saksi dan Tapi Bagaimana – antara karya muzik Spider yang berjaya menambat hati peminat muzik tempatan sebelum kumpuan ska-rock ini menyepi selama enam tahun selepas penerbitan album Kitasatu.
Ironinya, penantian lama hingga ‘bersawang’ peminat Spider berakhir sudah menerusi album keenam mereka berjudul Ankabut atau pun labah-labah dalam bahasa Arab yang dilancarkan di bangunan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim pada 28 Ogos lalu.
Ankabut yang menampilkan 10 lagu baharu, konsisten dengan karier muzik Spider yang sudah bermula sejak 1999, menerusi kematangan dari segi kualiti lagu, susunan muzik serta produksi rakaman.

Ankabut menyaksikan Spider masih mengekalkan Tam selaku vokalis, Hanafi (gitar) dan Ayie (dram) kecuali Is, yang mengambil tempat drummer daripada Tony Iskandar.
Rakaman album dibuat di studio Ronggeng Luncai Emas dan Supra 7 manakala proses mastering berlangsung di Amerika Syarikat secara ‘atas talian’.
Jika diimbas semula kehebatan kumpulan Spider, mereka pernah memenangi Anugerah Juara Lagu 2004 untuk Relaku Pujuk, Album Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) untuk album Nazraku dan berada dalam senarai Top 5 ‘Malaysia Popular Artiste’ di MTV Asia Awards di Bangkok. – MYNEWSHUB.CC