KUALA LUMPUR – Beberapa persatuan penduduk mencadangkan kerajaan mewujudkan pelan dan langkah proaktif yang boleh dijadikan garis panduan bagi menangani penularan virus Zika di negara ini.
Ia susulan kebimbangan mereka terhadap virus itu selepas laporan kes pertama jangkitannya yang melibatkan seorang wanita di Klang, Selangor hari ini.
Pengerusi Persatuan Penduduk Bukit Setiawangsa, Ahmad Shukri Abdul Shukor berkata setakat ini, tidak ada pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) mengeluarkan garis panduan untuk dilaksanakan persatuan penduduk.
Beliau berkata keadaan itu menyebabkan persatuan penduduk tidak mengetahui kaedah dan prosedur yang perlu diambil bagi membendung penularan virus Zika di kawasan masing-masing dan keadaan itu amat membimbangkan mereka.
“Sekarang, kami cuma menjalankan aktiviti biasa seperti menjaga kebersihan dan bergotong-royong menghapuskan tempat pembiakan nyamuk, tetapi prosedur sebenar untuk (bendung) Zika, kami tidak jelas apa perlu dilakukan,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Ahmad Shukri berkata berdasarkan interaksinya dengan penduduk setempat juga mendapati pengetahuan dan kesedaran mereka mengenai Zika amat rendah berbanding wabak lain seperti denggi dan malaria.
Pengerusi Persatuan Penduduk Sering Ukay, Datuk Mohammed Arshad Raji berkata pihak berkuasa perlu melaksanakan kempen secara lebih meluas bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai Zika.
Beliau berkata PBT dan Jabatan Kesihatan juga disaran melaksanakan program seperti forum dan diskusi mengenai wabak itu bagi memastikan orang ramai faham dan sedar mengenai ancaman dan risiko yang dibawanya.
“Saya rasa perlu ada kempen besar-besaran dan program mendidik seperti kempen hapus denggi, sebab sekarang kita hanya mendapat maklumat yang sedikit mengenai Zika,” katanya.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Puncak Jalil, Zainuddin Zainal pula berkata PBT dan Jabatan Kesihatan perlu lebih agresif dalam melakukan pemantauan dan melaksanakan kerja-kerja pembersihan di kawasan perumahan.
Beliau turut menegaskan agar PBT lebih aktif berinteraksi dan menyalurkan maklumat kepada penduduk bagi memastikan mereka sentiasa peka dengan keadaan persekitaran dan ancaman semasa.
“Kawasan kami ini adalah ‘hotspot’ denggi, kerana ia kawasan perumahan yang agak besar dan berada bersebelahan kawasan hutan.
“Jadi risiko penyakit daripada nyamuk memang tinggi di sini dan pihak berkuasa tempatan perlu mengambil langkah proaktif bagi mengelak Zika menular di sini,” katanya.
Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan seorang wanita berusia 58 tahun yang menetap di Bandar Botanic, Klang, Selangor positif dijangkiti virus Zika, dan disyaki mendapat gejala itu semasa berkunjung ke Singapura. – BERNAMA
