KUALA LUMPUR – Rakyat perlu berhati-hati dengan tindakan segelintir pihak terutama pembangkang yang sedang berusaha menyuntik secara halus pelbagai fahaman negatif yang mampu merosakkan kesejahteraan negara ini.
Ketua Bahagian UMNO Wangsa Maju, Datuk Dr. Mohd Shafei Abdullah berkata, agenda-agenda negatif yang cuba disebarkan tersebut mampu mencalar kepentingan agama Islam di negara ini.
Justeru, katanya, rakyat perlu sedar dan menginsafi keamanan serta perpaduan rakyat pelbagai kaum di Malaysia yang dikecapi dibawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama ini.
“Kita tahu bahawa negara kita aman. Ini nikmat yang kita sama-sama perlu insaf.Tetapi akhir-akhir ini kita dapat lihat pelbagai suntikan, racun dan dakyah yang tidak diingini sedang berlaku.
“Jika kita lihat dulu kita tidak pernah tahu mengenai lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT), kita tidak pernah menghadapi ancaman pluralisme tetapi sekarang sudah ada pihak yang memperjuangkannya,” katanya pada majlis Perasmian Program Kembara Sukan Rakyat di sini hari ini
Mohd. Shafei berkata, rakyat tidak wajar memperjudikan nasib dan hak orang Islam dengan terperdaya dakyah-dakyah yang dibawa oleh pembangkang kerana cuba mengambil kesempatan daripada isu-isu tertentu.
Menurutnya, umat Islam negara ini perlu menjaga kepentingan agama kerana dengan menolak pembangkang kerana mereka mungkin mengetengahkan agenda songsang terbabit jika dapat memerintah negara.
“Dulu orang tidak pernah mempertikaikan hak-hak orang melayu dan kuasa raja-raja melayu tetapi sekarang ini pihak-pihak tersebut telah mula mempersoalkan.
“Mengapa mereka ingin hapuskan Akta Hasutan, kerana mereka boleh mempersoalkan mengenai perkara 153 perlembagaan di Parlimen dan kemudian akan memperhebahkan agar kebangkitan rakyat yang boleh merosakkan dan akhirnya negara ini akan huru-hara,” dakwanya.

