KUALA LUMPUR – Penganjur dan peserta perhimpunan haram #Tangkap MO1 yang diadakan di Dataran Merdeka, petang Sabtu nyata melanggar syarat Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 apabila mencetuskan pelbagai provokasi.
Mereka bukan sahaja menghina gambar pemimpin negara menerusi kain rentang yang dibawa, malah melibatkan penyertaan kanak-kanak dengan membawa ke perhimpunan tanpa permit tersebut.
Lebih biadap, ada peserta yang memaki hamun petugas media gara-gara enggan mengikut arahan penganjur yang berlagak samseng memerintahkan mereka untuk duduk.
Walhal, petugas media kebetulan sedang sibuk bertugas dan memerlukan mereka untuk berdiri merakamkan suasana himpunan tersebut.
Gara-gara insiden itu juga, tercetusnya sedikit pergaduhan antara petugas media dan peserta namun sempat dileraikan oleh orang ramai.
Pun begitu, provokasi mereka tidak terhenti setakat itu. Seperti biasa, perhimpunan jalanan ini telah menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di sekitar pusat bandar raya.
Namun, apa yang terkilannya, peserta bukan sahaja mengganggu hak pengguna jalan raya tetapi tidak tahu malu menjadi ‘raja jalanan’ apabila kurang ajar menghalau kenderaan yang mahu melalui tempat perhimpunan itu.


Kesesakan di ibu negara akibat perhimpunan itu turut menyekat orang awam yang ingin membeli-belah atau bercuti bersama-sama keluarga pada hujung minggu.
Pendek kata, himpunan ‘bodoh’ yang tidak mendapat kebenaran dari segi undang-undang dan APA ini bukan sahaja sia-sia tetapi menyusahkan kehidupan harian orang lain.
Dalam pada itu, himpunan mahasiswa propembangkang #Tangkap MO1 ini turut menjadi bahan lawak netizen di laman sosial.



Manakan tidak, himpunan yang berkisar kepada menangkap Malaysia Official 1 tiba-tiba ditukar kepada menangkap Maria Ozawa 1 (MO1) yang merupakan seorang bintang porno terkenal dari Jepun.
Kain rentang dan banner yang dibawa peserta itu turut diubah suai kepada gambar aktres lucah berkenaan hingga gambar tersebut menjadi viral di media sosial. – MYNEWSHUB.CC