NEW DELHI – Polis India terpaksa memasang pemantul cahaya pada tanduk lembu sebagai usaha mencegah pemandu kenderaan daripada melanggar haiwan itu yang berkeliaran liar di jalan raya pada waktu malam.
Jurucakap polis trafik di negeri Madhya Pradesh berkata, pemasangan lapisan berwarna jingga itu dilakukan susulan banyak kemalangan dilaporkan berlaku dan buat permulaan kira-kira 300 ekor lembu dipasang pemantul berkenaan untuk mudah dikesan pemandu.
Ratusan haiwan ternakan itu sejak sekian lama menyebabkan gangguan aliran lalu lintas di seluruh India selain banyak nahas terjadi ekoran kegagalan pemandu mengelak daripada merempuh lembu yang berada di tengah jalan raya terutama ketika hari gelap.
“Ramai pemandu yang mungkin mengantuk atau rabun mata dalam kes langgar lari jalanan dikesan mengakibatkan haiwan ini sama ada cedera atau langsung terbunuh,” kata inspektor polis trafik daerah Balaghat, Kailash Chauhan kepada agensi berita antarabangsa AFP.
Justeru ujar beliau lagi, pihak polis tempatan terpaksa melakukan langkah awal sebelum lebih banyak kemalangan berlaku dan pemasangan pemantul cahaya tersebut daripada jenis plastik dilaporkan berjaya mengurangkan kadar pelanggaran lembu secara amat dramatik.

Ekoran kejayaan skim itu, pihak berkuasa berkata bahawa mereka berhasrat membeli lebih banyak cat jenis radium sebagai pemantul kekal kerana jangka hayat lapisan plastik lazimnya hanya mampu bertahan sementara selama beberapa minggu sebelum tertanggal sendiri.
Polis tempatan turut mengarahkan para petani untuk memasang pemantul cahaya pada tanduk lembu ternakan masing-masing demi memudahkan jarak penglihatan pemandu kenderaan jika haiwan tersebut mungkin berkeliaran ‘terbabas’ memasuki kawasan jalan raya.
Di Chennai, ibu negeri Tamil Nadu, pihak berkuasa bertindak tegas menyita lebih 600 ekor lembu setiap bulan dan pemilik yang datang menuntut semula haiwan milik mereka tersebut akan dikenakan pula denda sebanyak 1,250 rupee (kira-kira RM75) untuk seekor.
Sepanjang 2015 lalu, lebih 550 orang dilaporkan terbunuh di serata India dalam kemalangan akibat kenderaan dipandu mereka secara tidak sengaja merempuh lembu yang melepak di jalanan, menurut perangkaan nahas dikeluarkan oleh pihak kementerian pengangkutan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia dalam pada itu merekodkan pada 2013 pula seramai lebih 231,000 orang maut akibat kemalangan jalan raya di seluruh India atas pelbagai sebab termasuk melanggar haiwan di jalanan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

