SUBANG JAYA – Tujuh pelajar kolej swasta di sini termasuk enam warga asing ditahan Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya bersama dadah bernilai RM 12,000 Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Mohammad Azlin Sadari berkata mereka berusia antara 21 dan 25 tahun ditahan dalam serbuan berasingan antara pukul 3 petang dan 11 malam.
“Tangkapan pertama dilakukan ke atas tiga lelaki termasuk seorang lelaki tempatan berusia 21 hingga 23 tahun semasa pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan di Jalan SS14.
“Pemeriksaan pada kenderaan itu turut menemukan empat ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja seberat 4,043 gram yang diletakkan di dalam sebuah beg di bonet kereta berkenaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mohammad Azlin berkata susulan itu, pihaknya menahan empat lagi pelajar yang kesemuanya warga asing kerana dipercayai memiliki dadah di sebuah rumah di Jalan SS12 pada pukul 11 malam.
Beliau berkata pemeriksaan polis menemukan satu ketulan mampat dipercayai dadah jenis ganja seberat 24 gram di ruang tengah rumah berkenaan.
Katanya pemeriksaan saringan air kencing ke atas semua suspek didapati positif dadah dan mereka ditahan reman selama seminggu bermula Jumaat lepas.
Bagi kes pertama, suspek disiasat bawah Seksyen 39 B Kanun Keseksaan manakala tahanan dalam kes kedua disiasat di bawah Seksyen 39 (a) (1) Kanun Keseksaan, katanya. – BERNAMA

