JOHOR BAHARU – Penyokong bola sepak diminta agar mematuhi sepenuhnya garis panduan serta prosedur standard operasi (SOP) kawalan keselamatan pada perlawanan Piala Malaysia membabitkan skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Perak di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, di sini Rabu ini.
Peringatan itu susulan insiden pergaduhan dalam perlawanan Liga Super membabitkan penyokong kedua-dua pasukan itu di Stadium Ipoh, Sabtu lepas, yang mengakibatkan dua anggota polis cedera.
Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata pihaknya tidak akan berkompromi, bertolak ansur atau teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang.
Baca:Â Penyokong Bola Sepak Serang Jurugambar Biadap – NUJ
Menurutnya, sebagai penyokong, adalah wajib untuk mereka mematuhi garis panduan ditetapkan, antaranya tidak memiliki, membawa atau membakar apa-apa jua bahan letupan seperti suar, bunga api, mercun dan dinamit ketika berada di luar atau di dalam kawasan stadium sebelum, semasa atau selepas perlawanan bola sepak.
“Mereka juga ditegah daripada melakukan sebarang bentuk provokasi, membawa peralatan yang boleh mendatangkan kecederaan, meminum minuman keras serta melakukan sebarang bentuk vandalisme seperti membakar kerusi tempat duduk penonton, menconteng, memanjat pagar dan membuang sampah merata-rata,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semua garis panduan itu bertujuan memastikan keamanan dan ketenteraman awam terpelihara, katanya. – BERNAMA

