KUALA LUMPUR – Seorang pekerja restoran makanan segera dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret Trafik hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menunggang motosikal secara melulu dengan aksi ‘ Superman’, bulan lalu.
Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan menjatuhkan hukuman itu terhadap Abu Bakar Kamaruzzaman, 18, dan memerintahkan hukuman penjara itu bermula hari ini dan penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mahkamah juga memerintahkan lesen memandu percubaan tertuduh dibatalkan dan hilang kelayakan mendapatkan lesen selama dua tahun.
Tertuduh didakwa menunggang motosikal jenis Yamaha FZ150 dengan cara melulu serta membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), di sini, antara pukul 2.00 dan 2.10 pagi, 9 Jun lepas.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang dua tahun dan lesen memandu percubaan dibatalkan.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya mahkamah mengenakan denda yang ringan dan diberi peluang kedua kerana dia baru bekerja, bagaimanapun Pegawai Pendakwa Inspektor Hashimah Hashim memohon mahkamah memberi hukuman setimpal.
Berdasarkan fakta kes, semasa polis menjalankan Ops Samseng Jalan raya di Lebuhraya Duke, tertuduh yang tidak memakai topi keledar telah menunggang motosikal dengan cara melulu dan berbahaya dengan kelajuan tinggi serta melakukan aksi ala Superman.
Di mahkamah sama, seorang bekas pemandu teksi didenda RM300 atau satu bulan penjara selepas mengaku bersalah membuat pusingan ‘U’ di Jalan Changkat Tamby Dollah, di sini, pada 8.54 pagi, 27 Jan tahun lepas.
Noorul Fhaiez menjatuhkan hukuman itu ke atas P. Rajandran, 56, mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda sehingga RM2,000.
Dalam rayuannya, Rajandran yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda yang ringan dengan alasan dia kini tidak bekerja dan menghidapi penyakit jantung. – BERNAMA

