Jumlah total kes Denggi di seluruh negara bermula Januari sehingga 18 Oktober lepas dilaporkan meningkat sebanyak 212 peratus, kepada 82,738 kes berbanding 26, 527 pada tempoh sama tahun lepas.
Memetik laporan BERNAMA, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kematian bagi durasi masa yang sama pula adalah 157 berbanding 59.
Menurut beliau, dalam tempoh Januari sehingga 11 Oktober lalu, 3.99 juta premis diperiksa dan sebanyak 13,013 kompaun bernilai RM 6 juta dikenakan kerana tidak menepati piawaian.
Beralih kepada perkembangan mingguan kes Denggi, beliau berkata terdapat peningkatan sebanyak 19 peratus dalam tempoh tujuh hari iaitu dari 12 Oktober sehingga 18 Oktober iaitu sebanyak 2,160 kes berbanding 1,822 kes minggu sebelumnya.
Katanya lagi, 10 negeri dikenal pasti mengalami peningkatan kes iaitu Selangor, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Terengganu, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR

