KUALA LUMPUR – Bantahan umat Islam ke atas penganjuran konsert artis paling seksi luar negara, Selena Gomez di Selangor semakin memuncak apabila PAS negeri itu turut membuat bantahan secara terbuka ke atas kerajaan Selangor hari ini.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Mohd. Prasad Hanif berkata, PAS Selangor secara terbuka membantah dan tidak bersetuju konsert tersebut diadakan walaupun Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempertahankannya.
“Tanggungjawab pemerintahan telah dianugerahkan kepada tiga parti yang memerintah Selangor. PAS sebuah parti yang bertunjangkan Islam. Berhadapan dengan isu ini, PAS Selangor tetap selaras dengan syariah.
“Walaupun bantahan ditolak dipelbagai peringkat dan kurang juga mencaci dan mengherdik, PAS Selangor akan terus dengan agenda dakwah untuk menerangkan kepada seluruh umat Islam akan kemudharatannya,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
PAS Pusat sebelum ini mengemukakan bantahan ke atas kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor berhubung penganjuran konsert Selena Gomez di negeri itu tetapi dipersendakan oleh Menteri Besar Selangor.
Malah, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyindir PAS di hadapan pihak media dengan berkata:
“Seksi adalah ciptaan Tuhan, ada orang seksi, ada yang tidak seksi, ada orang cantik, ada yang tidak cantik. Kenapa kita perlu kisah dengan keseksiannya?â€
Jawapan itu menyebabkan para wartawan terutama wakil media propembangkang tertawa besar.
Justeru, Mohd. Prasad berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PAS yang berjawatan Exco kerajaan Selangor akan menyuarakan bantahan dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“ADUN pula akan menyuarakan bantahan di dalam dewan, Ahli Majlis pula akan menyuarakan bantahan di peringkat mereka.
“Ahli-ahli PAS Selangor akan menyuarakan bantahan di segenap media dan setiap peringkat. Ini kewajipan setiap umat Islam kerana perkara ini akan ditanya di hadapan Allah kelak,” tegasnya. -MYNEWSHUB.CC

