TAIPING – Seorang nelayan, Saidin Ishak, 56, dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke rumahnya di Kampung Jelapang, Simpang, dekat sini, sejak Selasa lepas.
Menurut isteri beliau, Habsah Jaafar, 40, mangsa keluar dari rumah kira-kira 10 pagi dengan menaiki sebuah motosikal jenis Modenas Kriss tanpa membawa dokumen pengenalan diri atau wang.
Katanya, kali terakhir beliau melihat suaminya memakai baju Melayu berwarna kuning lembut dan seluar jeans ketika keluar dari rumah.
“Saya ingat dia keluar sekejap sahaja tetapi hingga sekarang tidak pulang. Saya sekeluarga bimbang dengan keselamatannya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Menurut Habsah, beberapa rakan suaminya ada ternampak beliau sedang makan di sebuah kedai, di sini Selasa lepas.
Katanya, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Simpang, di sini Rabu lepas setelah usaha mencari suaminya di beberapa tempat di sini gagal.
Orang ramai yang mengenali dan menemui suaminya boleh menghubungi anaknya Norsilawati di talian 011-24283251, katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping ACP Harrith Kam Abdullah ketika dihubungi berkata pihaknya mengesahkan ada menerima laporan polis berhubungan kehilangan berkenaan. – BERNAMA

