PELAKON Dira Abu Zahar menafikan khabar angin mendakwa konon rumah tangganya kini dilanda badai seperti mana yang pernah dilaporkan media sebelum ini.
Menurut aktres berusia 32 tahun itu hubungannya dan suami, Helmi Yusof, yang merupakan seorang pengarah fotografi masih dalam keadaan baik-baik sahaja.

“Status saya tak berubah, masih lagi, masih sama (bergelar isteri).
“Sebelum ini saya tak pernah potray yang kami ini pasangan yang sangat lovely. Tiada apa yang perlu dihairankan dan diperhebahkan.
“Saya baik-baik sahaja (hubungan dengan suami). Alhamdulillah, terima kasih atas doa-doa semua,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sidang Media Teater Mencari Sumaiyah di Istana Budaya, semalam.
Mencari Sumaiyah merupakan teater pertama arahan Dira yang diterbitkan menerusi syarikat produksinya, Hyper Pictures Sdn. Bhd. hasil kerjasama dengan Tall Order Sdn. Bhd.
Selain Dira, teater tersebut juga akan diarahkan oleh Datuk Hans Isaac selaku Pengarah Kreatif.
Ia yang bakal dipentaskan bermula 8 hingga 14 Ogos di Panggung Sari, Istana Budaya dibarisi selebriti popular seperti Afdlin Shauki, Erra Fazira, Sherry Al-Hadad, Nadia Aqilah, Ruzana Ibrahim dan Aisya Hasnaa.


Naskhah yang ditulis oleh Junad M.Nor ini mengisahkan tentang empat orang tukang jahit, Zaitun, Faridah, Mariam dan Salmi dalam merealisasikan impian mereka untuk bergelar tukang jahit terkemuka.
Dalam keempat-empatnya mengejar impian, nilai persahabatan mereka akan menemui pelbagai ujian. Dapatkah mereka mengharunginya atau adakah ikatan persahabatan di antara mereka akan terlerai?





Semuanya akan terjawab dalam teater Mencari Sumaiyah yang akan dipentaskan bermula 8 hingga 14 Ogos ini.
Tiket-tiket berharga RM40, RM60, RM80, RM100, RM130 dan RM150 boleh didapati menerusi laman sesawang www.airasiaredtix.com atau anda boleh hubungi talian 03-40265558 untuk maklumat lanjut. – MYNEWSHUB.CC

