SUSULAN kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menetapkan beberapa garis panduan untuk ibu yang mahu melahirkan anak menggunakan kaedah bersalin dalam air, pelakon Diana Danielle berpendapat tiada sebab untuk menghalang kaedah tersebut dilaksanakan di negara ini.
Diana menyuarakan pendapatnya kerana dia sendiri telah menggunakan cara itu sebanyak dua kali dan berjaya melaluinya dengan selamat.
“Dua kali saya menggunakan cara bersalin dalam air dan berasakan tiada sebarang masalah untuk mengamalkan kaedah ini bagi kelahiran anak-anak saya yang seterusnya.
“Saya berasa selesa dengan cara ini dan bagi saya, tiada sebab untuk menghalang ianya dilaksanakan di negara kita.
“Doktor menjaga para ibu yang memilih cara ini dengan rapi dan doktor juga akan memastikan seseorang wanita itu mampu melalui kaedah ini sebelum membenarkan prosedur dijalankan,” katanya kepada Projek MMO.
Tambahnya, bersalin dalam air juga merupakan cara yang selamat kerana dia dan kedua-dua anaknya tidak berdepan dengan sebarang masalah walaupun menggunakan kaedah tersebut. – MYNEWSHUB.CC

