KISAH menyayat hati ini disiarkan laman Stomp menerusi perkongsian yang dibuat oleh seorang pelayar web itu iaitu Ahchaichen yang terharu dengan kemurnian hati pemilik-pemilik kenderaan.
Ini kerana mereka dikatakan sudi membantu seorang warga emas yang lemah dan hendak terjatuh ketika melintasi di sebatang jalan raya sibuk di Singapura baru-baru ini.
VIsual rakaman video pendek berdurasi 1 minit itu mulanya menunjukkan seorang lelaki yang lanjut usia sedang melintas jalan ketika semua kenderaan berhenti di persimpangan lampu isyarat.


Malangnya, lelaki warga emas itu dilihat terjatuh ketika cuba untuk melintas pembahagi jalan untuk menyeberanginya. Pada masa yang sama lampu isyarat telah bertukar hijau.
Rata-rata pemilik kenderaan yang melihat kejadian itu bergegas mendapatkan warga emas itu untuk membantunya, malah ada antara mereka yang cuba mengawal lalu lintas di situ bagi mengelakkan kesesakan.
Namun, menurut laman Stomp, tidak tidak dipastikan bilakah dan di manakah kejadian tersebut berlaku.
Bagaimanapun, sikap dan nilai murni yang ditonjolkan oleh pengguna jalan raya itu seharusnya dicontohi dan dibanggakan. – MYNEWSHUB.CC

