Ya, cinta kadang-kadang boleh membuatkan seseorang individu melakukan perkara gila.
Namun, kes yang menimpa gadis bernama Tina, sedikit unik dan berbeza. Ketika pertemuan pertama dengan teman lelakinya yang merupakan seorang nelayan, dia mengakui yang dia pekak walaupun dia seorang normal!
Gadis pelayan dari Kodiak, Alaska, Amerika Syarikat ini menceritakan pengalamannya dalam satu rancangan baru, ‘My Crazy Love’ yang berkonsepkan pengakuan percintaan yang pelik.
Menurut Tina, ketika pertama kali berjumpa, dia terkejut kerana tidak menyangka masih ada lelaki bujang kacak di Kodiak, Alaska.
“Saya terpaku,” katanya dalam rakaman episod berkenaan.
“Saya tak tahu kenapa, tapi saya merenung ke arah lelaki berkenaan dan berkata, saya pekak. Dia cuma merenung kembali ke arah saya, memegang bahu dan menjerit, nama saya Chris.”
“Dia kemudiannya menoleh ke arah rakan-rakannya dan berkata, gadis pekak ini sangat cantik.”
Hubungan mereka kemudiannya berada pada satu fasa di mana mereka berkomunikasi melalui teks dan bahasa badan. Sandiwara Tina berterusan dan menjadi lebih mudah apabila Chris keluar memancing selama tiga bulan.
Ujarnya lagi, ia merupakan momen yang sukar setiap kali perlu berpura-pura menipu.
“Jika pintu ditutup, kamu tidak boleh langsung menoleh. Jika anjing menyalak, kamu perlu berhati-hati agar tidak sewenangnya menoleh atau memberi reaksi.
“Bila melintas jalan, kamu perlu berpura-pura tidak mendengar bunyi hon.”
Yang menjadi persoalannya, apa relevan penipuan pekak Tina untuk mengekalkan hubungannya dengan Chris? Macam-macam kerenah! – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR
