KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berharap semua pihak terutama majikan mematuhi Perintah Gaji Minimum (PGM) 2016 yang berkuatkuasa hari ini.
Setiausaha Agungnya N. Gopal Krishnan berkata MTUC berharap Kementerian Sumber Manusia akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang enggan mematuhi arahan dan dasar kerajaan.
“Pelaksanaan perintah gaji minimum sebenarnya telah ditangguhkan selama 18 bulan. Oleh itu, penguatkuasaan yang tegas dalam pelaksanaannya secara menyeluruh adalah perlu.
“MTUC tidak mahu majikan memberi sebarang alasan lagi untuk tidak membayar gaji minimum,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem semalam berkata Perintah Gaji Minimum 2016, iaitu RM1,000 sebulan bagi Semenanjung Malaysia, dan RM920 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan, berkuatkuasa hari ini.
Kadar gaji minimum baharu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2016 di Dewan Rakyat pada 23 Okt, 2015.
Sementara itu, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menyatakan mereka terpaksa akur dengan Perintah Gaji Minimum 2016 walaupun sebelum ini mengharapkan pelaksanaannya ditangguhkan.
Pengarah Eksekutif MEF Datuk Shamsuddin Bardan berkata sebanyak 70 peratus pekerja yang menerima manfaat PGM 2016 terdiri daripada pekerja warga asing yang sah.
“Hanya 30 peratus atau kurang dari setengah juta pekerja tempatan menikmati kadar gaji baharu ini kerana kebanyakan pekerja tempatan telah menerima gaji minimum yang mula dilaksana pada 2013, jadi gaji mereka sudah lebih RM1,000,” katanya kepada Bernama hari ini.
Shamsuddin berkata walaupun PGM 2016 dilaksana bagi melindungi kepentingan pekerja namun ia membebankan majikan kerana mengalami penurunan prestasi perniagaan antara 30 hingga 40 peratus bermula akhir 2015 hingga suku pertama tahun ini.
Beliau mendakwa pelaksanaan PGM 2016 juga bukan sahaja tidak akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu, malahan ia akan menyebabkan ramai pekerja terpaksa diberhentikan ekoran kekangan kewangan majikan.
“Pada 2015, kira-kira 35,000 pekerja terpaksa ditamatkan perkhidmatan, dan pada Januari tahun ini sebanyak 5,000 pekerja hilang punca pendapatan. – BERNAMA

