KUALA TERENGGANU – Persiapan hari raya seorang bapa tunggal bersama dua anaknya musnah apabila rumah mereka terbakar di Permint Jaya, Chendering di sini awal pagi tadi.
Kejadian pukul 3.15 pagi itu memusnahkan sepenuhnya rumah Abd Rahim Tamby, 53, serta menyebabkan beliau melecur pada kaki dan tangan.
Beliau berkata kejadian disedari anak perempuannya Sophea Najwa, 14, yang ternampak kepulan asap dari van miliknya yang diletak di luar rumah.
“Saya sedang tidur ketika itu. Saya terus bergegas keluar dari rumah dan mendapati hampir 50 peratus van saya sudah terbakar.
“Saya cuba memadamkan api pada van saya dengan menggunakan saluran air dari paip di luar rumah. Namun dalam sekelip mata sahaja, van yang diletak kira-kira satu meter dari rumah saya hangus dan tidak lama kemudian apinya merebak pula ke rumah saya.
“Setelah tidak mampu lagi mengawal api, saya terus menjerit supaya anak saya keluar dari rumah menggunakan pintu belakang,” katanya.
Abd Rahim berkata lazimnya pada tahun-tahun sebelum ini, beliau anak-beranak pulang ke kampungnya di Negeri Sembilan untuk beraya, tetapi akibat kejadian itu, mereka mengambil keputusan untuk beraya di sini sahaja.
Pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran. – BERNAMA

